Witness Of Hope : Moments Of Inspiration

Selepas menyertai KKAYC, apakah inspirasi utama yang anda dapat dan apakah langkah seterusnya bagi anda sebagai pemimpin orang muda Katolik di tempat anda?

Eric Clarence - Paroki St. John, Tuaran

Pertama sekali, saya sangat bersyukur kepada Tuhan, kerana memberi saya peluang yang begitu indah untuk menyertai KKAYC! Pelbagai input yang telah saya terima yang amat bermakna dan diluar jangkaan saya selaku seorang pemimpin belia. Banyak perkara yang memberi inspirasi kepada saya semasa program ini, dan yang paling terutama adalah perkataan Kenosis itu sendiri, ia itu menjadikan diri itu kosong sebelum segalanya.

Dahulunya, saya pemimpin yang tidak melihat perkara ini secara teliti dan mendalam, dimana ego itu menjadi salah satu penggerak saya sebagai seorang pemimpin belia. Namun disini hati saya tersentuh apabila mendengarkan Kenosis & maksudnya. Semenjak hari itu, penerapan Kenosis dalam diri saya semakin baik, saya dapat melihat seseorang itu dengan hati yang lebih terbuka, dan memberi saya peluang untuk memahami keadaan seseorang dengan lebih baik. Mulai dari saat itu, saya berjanji dengan diri saya untuk sentiasa membawa Kenosis itu dalam kehidupan harian saya dan dalam kepimpinan saya.

Dengan itu, saya berharap pada masa akan datang, bahawa Kenosis ini juga saya akan pupuk dalam kalangan OMK sekitar saya. Membawa OMK untuk menjadi seperti pribadi Yesus sendiri. Kerana saya percaya, karakter yang kukuh mampu membantu para OMK untuk maju kedepan dengan iman walaupun pelbagai rintangan yang bakal dihadapi. Kerana mengosongkan diri, dan mengandal kepada Tuhan, segala perkara pasti dapat dilalui walaupun hujan lebat dihadapan, kerana Tuhan berjanji untuk selalu menyertai.

Dengan itu, saya dengan berani katakan, “Amen, saya mahu menjadi saksi Kristus”, dan menjadikan ini sebagai dasar keimanan saya.

Megan Sikajat - Paroki St. Paul, Dontozidon

Shalom! Selepas menyertai KKAYC, saya sangat terinspirasi dengan semangat Kenosis; hidup dalam kerendahan hati, solidariti, dan pelayanan seperti Yesus. Saya sedar bahawa kepimpinan sejati bukan tentang kuasa atau ingin dikenali, tetapi tentang memberikan diri kita untuk orang lain dengan kasih.

Sebagai Pemimpin Belia Katolik di paroki saya, saya ingin menghayati semangat ini dengan hati yang rendah, berdiri dalam solidariti dan kebersamaan dengan orang lain, serta sentiasa mendengar dan menyokong mereka. Saya mahu menggalakkan rakan-rakan belia untuk bertumbuh dalam iman dan belas kasihan sambil kita berjalan bersama dalam Kristus, membina komuniti yang dipenuhi kasih, kesatuan, dan semangat memberi diri.

Freddy Sindin - Paroki Sacred Heart, Inobong

Selepas menyertai KKAYC, saya semakin sedar bahawa pelayanan belia tidak boleh kekal di dalam zon selesa. Kadang-kadang kita terlalu bergantung kepada aktiviti yang sama setiap tahun seperti doa, rekoleksi, kem, dan pujian hingga lupa bahawa Tuhan juga bekerja dalam cara yang tidak dijangka.

Inspirasi – mencipta ruang baharu bagi Tuhan bekerja melalui cara yang belum pernah dicuba.

Langkah seterusnya- Mencuba aktiviti yang nampak mustahil, tetapi sebenarnya mampu dilakukan jika belia bersatu dan percaya.

Contohnya :

“Retreat Bergerak ke Pedalaman”, di mana belia tinggal beberapa hari bersama umat di kawasan terpencil, tidur di rumah penduduk, berkongsi doa dan kisah iman. Ia bukan sekadar kunjungan, tetapi pengalaman rohani sebenar, membawa Yesus secara hidup ke tempat yang jauh dari pusat paroki.

Mcwills Metha - Paroki St. Joseph, Kiulu

Selepas menyertai KKAYC, saya terinspirasi untuk lebih berfikiran kritikal terutamanya dalam perancangan program OMK. Saya menyedari bahawa untuk merancang program OMK pada masa kini, komunikasi yang berkesan perlu diterapkan agar program yang dirancang bukan sahaja menarik para OMK tetapi juga memberi impak jangka masa panjang dalam pertumbuhan iman mereka. Program OMK juga perlu lebih bersifat “approachable” utk para OMK. Sebagai pemimpin OMK di tempat saya, saya amat bersyukur sekiranya dapat memperkenalkan program seumpama ini kepada OMK. Inspire · Reconnect · Rebuild
Kerana setiap belia berharga.Tiada yang terlalu jauh untuk dikasihi.

Mikhael Rexcy Martinus - Paroki Good Shepherd, Manggatal

Shalom para OMK semua!

Inspirasi yang saya dapat dari KKAYC ialah tentang sikap kenosis — sikap merendahkan diri dalam pelayanan. Sebagai pemimpin belia, kita perlu melayani bukan kerana nama, tapi kerana komitmen, tanggungjawab dan kasih kepada Tuhan.

Melalui sikap kenosis, kita belajar untuk melayani tanpa pilih kasih, dengan hati yang tulus. Harapan saya agar OMK di paroki saya juga menghidupi semangat kenosis ini, bersatu dan hidup dalam komuniti — tidak berjalan sendiri, tapi kuat bersama untuk terus melayani sesama belia di luar sana. 💪✨

Jo-Ann Justin Gindok - Catholic Students Council

Inspirasi utama yang saya dapat selepas menyertai KKAYC ialah bahawa pelayanan bukan tentang mencari helpers tetapi collaborators. Ini bermaksud, kita semua dijemput untuk berjalan bersama dalam karya Allah. Saya belajar bahawa tidak semua orang dipanggil untuk melayani dengan cara yang sama; ada yang masih perlu dilayani dulu, dan itu tidak mengapa. Apa yang penting ialah kita perlu membina kebersamaan yang bukan sekadar kesatuan dalam pemikiran, tetapi keinginan untuk melakukan sesuatu bersama dalam kasih.

Langkah saya seterusnya sebagai pemimpin orang muda Katolik di tempat saya ialah untuk membawa semangat ini ke dalam komuniti saya, iaitu untuk menjadi teman kerana ingin berteman, bukan semata-mata mencari pelayan baharu. Secara peribadi, saya mahu menjadi seseorang yang boleh dipercayai dan hadir, membina hubungan yang tulen supaya orang muda merasa diterima dan disayangi, membawa semangat kebersamaan agar pelayanan tumbuh dari hati, bukan sekadar tanggungjawab.

Aquinas Simon - Sacred Heart Cathedral, Kota Kinabalu

Saya percaya bahawa Allah telah memanggil saya ikut serta dalam karya misiNya untuk menjangkau orang muda Katolik melalui program KKAYC ini. Meskipun pada mulanya saya masih ragu-ragu ketika saya dipilih untuk ikut ambil bahagian dalam program ini namun saya yakin bahawa inilah remcana Allah untuk membentuk peribadi saya dalam mewartakan misiNya bukan saja dari segi pengetahuan melainkan kepimpinan dan nilai-nilai hidup Kristiani dalam kehidupan Gereja, Keluarga, sosial dan ekologi. Hal yang paling mengesankan sepanjang program KKAYC ini adalah pengalaman Kasih Persaudaraan antara sesama peserta khususnya semasa aktiviti berkumpulan. Maka itu, sebagai pemimpin orang muda Katolik langkah saya seterusnya adalah meneruskan semangat pelayanan saya untuk membawa para belia yang saya jangkau kepada pengalaman Kasih Allah yang sama seperti yang telah saya alami sendiri.

Keassy Liong - Paroki St. Peter Claver, Ranau

Shallom.
Saya Keassy Liong Kuan Yee dari Paroki St. Peter Claver, Ranau. Program KKAYC membuka mata saya bahawa orang muda memang mempunyai potensi besar untuk menjadi saksi Kristus. Saya terinspirasi dengan cara kita boleh bersatu, berkongsi, dan melayani sesama dengan penuh semangat. Langkah seterusnya, sebagai pemimpin muda, saya mahu terus mendengar suara orang muda di komuniti saya, bantu mereka bertumbuh dalam iman, dan cipta ruang di mana semua rasa diterima dan berani untuk mahu melayani.
Mewujudkan ruang di mana orang muda rasa diterima apa adanya, tanpa takut dihakimi. Ruang ini bukan sekadar tempat kita berkumpul, tapi tempat kita boleh saling mendengar, doa bersama, dan melayani ikut bakat masing-masing. Bila orang muda diberi kepercayaan dan disokong, mereka akan lebih berani tampil dan gunakan karunia yang Tuhan beri untuk komuniti. Antara aktiviti-aktiviti belia yang sedang dibuat ialah Belia Corner – jual mee sup, untuk menjana dana program Ranau Catholic Youth Day. Di sini kami dapat saling mengenali dan melihat kekuatan pelayanan masing-masing dan saling melengkapi dalam tim pelayanan orang muda. Saya juga berharap agar dapat bersama-sama dengan tim untuk menggerakkan sesi Sharing Santai di mana setiap bulan ada perkumpulan belia dan chill, bermain game, salig mendengar dan berkongsi cerita.

Leannette Likuis - Paroki St. Catherine, Inanam

Shallom, Leanette di sini. Ini perkongsian saya ✨

Selepas menyertai KK Archdiocese Youth Consultation (KKAYC), inspirasi utama yang saya dapat ialah Tuhan benar-benar bekerja melalui setiap pengalaman dan pertemuan walaupun kecil, semuanya mempunyai tujuan dalam rencana-Nya. Saya sedar bahawa menjadi pemimpin belia bukan sekadar mengurus aktiviti, tetapi menjadi jambatan yang membawa belia kepada perjumpaan peribadi dengan Kristus.

Melalui pengalaman saya, Tuhan menunjukkan bahawa pelayanan yang ikhlas boleh mengubah hati orang lain seperti bagaimana rakan belia yang dulunya tidak tetap arah kini mula setia melayani, dan seorang lagi yang dahulunya jauh dari sakramen kini kembali kepada Gereja. Mereka mula terbuka hati bukan kerana dipaksa, tetapi kerana melihat ketulusan dalam pelayanan saya dan dari situ, Tuhan sendiri yang menanam keinginan mereka untuk melayani. Semua itu mengingatkan saya bahawa pelayanan bukan tentang berapa ramai yang kita pimpin, tetapi berapa ramai yang kita bawa kembali kepada Tuhan.

Langkah seterusnya bagi saya sebagai pemimpin muda Katolik ialah terus berjalan bersama belia, mendengar kisah mereka, dan menjadi saksi kasih Tuhan melalui tindakan kecil setiap hari. Saya mahu terus membina komuniti belia yang hidup, bersatu, dan berakar dalam iman kerana saya percaya jika seorang belia berubah, satu komuniti boleh dihidupkan semula.

Seperti tema KKAYC, selepas “Celebrate”, “Listen”, dan “Walk”, saya mahu benar-benar melangkah bersama Kristus, bukan hanya untuk diri saya, tetapi untuk setiap belia yang Tuhan percayakan kepada saya.

Akhirnya, saya belajar bahawa Tuhan tidak mencari yang sempurna, tetapi yang mahu dipakai. Selagi kita membuka hati dan sedia berjalan bersama-Nya, Tuhan akan gunakan kita walaupun dalam kelemahan untuk menyentuh hidup orang lain.

Sekian perkongsian, terima kasih. ✨

10. Benedict Yee - Parish of St. Simon, Likas

It was good that I can know some other leaders from other churches and to know them. I’ll do more connection events with my youth in church to get to know them more.

11. Pet Royston - St. Thomas More Kepayan

Inspirasi Utama Selepas KKAYC:

Saya sedar bahawa setiap orang mempunyai salib masing-masing, tetapi dalam salib itulah kita bertumbuh dan mengenal kasih Tuhan yang sebenar. Saya belajar bahawa pelayanan belia bukan sekadar aktiviti, tetapi satu misi Tuhan (Missio Dei) — di mana kita dipanggil untuk mengosongkan diri (kenosis) dan membiarkan Tuhan bekerja melalui kita. Saya juga melihat rakan belia lain yang tetap setia walaupun berdepan cabaran hidup memberi saya inspirasi untuk tidak mudah menyerah, dan sentiasa melakukan segala sesuatu demi kemuliaan Tuhan, bukan diri sendiri.

Kesimpulan:
KKAYC telah mengingatkan saya bahawa pelayanan bukan beban, tetapi panggilan — untuk bertumbuh, berkorban, dan berkongsi kasih Tuhan dalam kehidupan seharian.

Langkah Seterusnya Sebagai Pemimpin Belia:

1. Menggalakkan penjangkauan belia dengan cara kreatif
* Menganjurkan aktiviti terbuka yang lebih unik dan selari dengan minat generasi muda sekarang, seperti pertandingan memasak, latihan asas membaiki komputer, bengkel muzik dan lain-lain.
* Tujuannya adalah untuk menarik minat dan menjangkau Belia yang belum mengenali Tuhan, secara perlahan-lahan, datang ke Gereja.

2. Inisiatif penglibatan Belia di peringkat pengurusan Gereja
* Menggalakkan kehadiran wakil belia dalam Majlis Pastoral Paroki (MPP) dan Majlis Kewangan Pastoral (MPK).
* Ini bertujuan untuk membuka mata ahli majlis lain tentang suara dan perspektif generasi belia baru, yang kini berfikir dan berinteraksi dengan cara yang berbeza berbanding generasi terdahulu.

3. Teruskan melayani dengan cara tersendiri, bagi Belia yang telah mengundurkan diri
* Walaupun ramai belia kini mempunyai komitmen baharu (kerjaya, keluarga, pelajaran), mereka tetap boleh melayani dengan cara masing-masing — mengikut kemampuan dan keadaan hidup semasa.
* Terlibat dalam aktiviti komuniti tempatan – Contohnya menjadi sukarelawan, membantu golongan memerlukan, atau menganjurkan aktiviti kebajikan.

4. Menjadi teladan dalam ketekunan dan kesetiaan
* Sentiasa mengingatkan diri dan rakan belia untuk berpegang pada prinsip:
“Apa pun yang kita lakukan, lakukanlah untuk kemuliaan Tuhan.”
* Membawa pelayanan dalam doa harian – sentiasa mendoakan rakan-rakan belia dan pelayanan paroki walaupun tidak lagi aktif secara fizikal.

12. Jessica Josue

Selepas menyertai KKAYC, hal yang paling menginspirasikan saya adalah semangat kesatuan dalam komuniti belia yang datang dari pelbagai latar belakang, dimana kesatuan ini membawa kesedaran dalam pertumbuhan iman dan pelayanan sebagai pemimpin belia. Melalui kesatuan ini, saya belajar bahawa iman boleh bertumbuh apabila kita saling meneguhkan, saling mendengar, dan berjalan bersama dalam kasih Kristus melalui karya Allah yang memusatkan kita sebagai misi-Nya iaitu “Misso Dei” yang merujuk kepada “Misi Allah” untuk menjangkau manusia dalam membentuk kesatuan. Selain itu, perbezaan cara berfikir, perbezaan budaya, dan pengalaman, juga menunjukan bagaimana Tuhan hadir, dan berkarya dalam setiap individu, serta menyatukan kami dalam satu tujuan yang sama untuk mengenal dan mengasihi Kristus dengan lebih mendalam. Kesatuan ini membuat saya sedar bahawa pelayanan bukan tentang diri sendiri, tetapi tentang bagaimana kita bersama-sama membiarkan kasih Allah mengalir melalui peribadi orang muda untuk mengukuhkan semangat komuniti belia pada masa kini. Sebagai langkah seterusnya, saya ingin memperkukuhkan komuniti belia di tempat kami dengan mengadakan dialog belia supaya suara belia didengari dan dihargai dalam arah pelayanan gereja. selain itu, membentuk pasukan kecil pemimpin muda agar tanggungjawab dapat dikongsi bersama dan generasi baharu dapat dilatih dalam semangat pelayanan sejati, dan menggerakkan belia untuk melayani bersama dalam misi luar seperti aktiviti kebajikan dan penjagaan alam sekitar supaya semangat kesatuan yang dibina tidak hanya di dalam gereja, tetapi juga nyata dalam masyarakat.

Imbasan Program KKAYC

Klik butang dibawah untuk koleksi gambar sepanjang KKAYC